News

Loji Rawatan Kumbahan Langat beri manfaat kepada 920,000 penduduk Cheras dan Kajang

09 Apr 2018

KETUA Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr. Zaini Ujang (tengah) memotong riben sebagai simbolik pembukaan Pusat Informasi Awam (PIC) Projek Pembentungan Langat di Pejabat Tapak Projek Pembentungan Langat, dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

KAJANG 9 April - Loji Rawatan Kumbahan Langat yang merupakan loji pertama di Malaysia menggunakan kaedah inovasi dari Jepun bakal memberi manfaat kepada 920,000 penduduk di sekitar Cheras dan Kajang.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, pembinaan loji yang bernilai RM1.6 bilion itu bertujuan memastikan beban cemar daripada kumbahan perumahan dan perdagangan dapat dirawat sebaiknya sebelum dilepaskan ke Sungai Langat.

Katanya, loji tersebut dijangka siap pada April 2021 dan mencapai kapasiti maksima pada 2035.

"Loji kecil sedia ada tidak mampu menampung beban cemar daripada kumbahan dalam memastikan kebersihan Sungai Langat. Oleh sebab itu, kerajaan pusat mengambil inisiatif untuk membina loji ini.

"Selesai sahaja pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Langat, 164 loji kumbahan sedia ada akan dilupuskan dan tanah tersebut bakal dipulangkan kepada kerajaan negeri," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Informasi Awam (PIC) Projek Pembentungan Langat di Pejabat Tapak Projek Pembentungan Langat, dekat sini hari ini.

PIC Projek Pembentungan Langat dibuka secara rasmi kepada masyarakat umum hari ini untuk memberi kefahaman tentang kepentingan perkhidmatan pembentungan yang efisien.

 

Mengulas lanjut, Zaini turut menasihati penduduk di sekitar Cheras dan Kajang untuk mengambil insiatif menyambungkan sambungan paip kumbahan di premis atau perumahan mereka ke Loji Rawatan Kumbahan Langat dengan segera.

"Hampir 20 ke 30 peratus perumahan di sekitar sini tidak membuat penstrukturan semula sambungan paip mereka ke loji rawatan kumbahan ini yang akhirnya boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat pada masa akan datang jika tindakan ini tidak diambil dengan segera.

"Bahan kumbahan itu juga boleh mencemarkan Sungai Langat. Oleh itu, saya berharap penduduk akan memikul bertanggungjawab dalam sama-sama menjaga alam sekitar dan sungai kita daripada tercemar," katanya. - UTUSAN ONLINE