KAJANG, 9 April (Bernama) -- Loji Rawatan Kumbahan Langat yang merupakan loji pertama di Malaysia menggunakan kaedah inovasi dari Jepun kini telah siap 70 peratus dan akan mula beroperasi pada Oktober tahun ini. Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata pembinaan loji tersebut bakal memberi manfaat kepada 920,000 penduduk sekitar Cheras dan Kajang.
"Projek bernilai RM1.6 bilion itu bertujuan memastikan beban cemar daripada kumbahan perumahan dan perdagangan dapat dirawat sebaiknya sebelum dilepaskan ke Sungai Langat.
"Loji ini mampu menampung aliran kumbahan sebanyak 207,000 meter sehari meliputi 60.9 kilometer persegi kawasan tadahan Sungai Langat, bermula dari Cheras Batu 11 hingga Kajang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Informasi Awam Projek Pembetungan Langat di sini, hari ini.
Katanya loji rawatan yang akan beroperasi pada Oktober nanti melibatkan 20 peratus daripada keseluruhan Projek Pembentungan Langat melibatkan penyambungan paip daripada 164 loji kumbahan kecil sedia ada di sekitar Cheras dan Kajang ke loji itu.
"Sebaik sahaja 164 loji kecil itu telah siap disambung ke Loji Kumbahan Langat, kami akan mula menutup tapak-tapak loji itu secara berperingkat sebelum diserahkan kembali kepada kerajaan negeri," katanya.....